CHATting

Idlan , Kecik , Alex ke FINAL RL4

Rabu, 3 Mac 2010

Kumpulan Kecik, Idlan dan Alex berjaya mara ke final Raja Lawak 4 pada minggu hadapan apabila kumpulan Mamu tewas pada peringkat separuh akhir yang ke udara sebentar tadi.

Pengumuman penyingkiran dibuat oleh salah seorang juri tetap Raja Lawak 4, Afdlin Shauki, pada minggu keenam Gelanggang Raja Lawak 4 (RL4) yang disiarkan secara langsung di saluran Astro Prima (saluran 105), di sini.

Mamu yang dianggotai Wan Azrul B. Azizan (Ajo), 24 dan Abu Musarrif B. Abu Bakar (Abu) 21, menerima undian SMS terendah dari penonton lalu mengikut jejak tujuh peserta lain pada minggu sebelumnya yang gagal meneruskan perjuangan.

Sekali pun kecundang, Mamu tetap memberikan persembahan yang menghiburkan dan sebelum mengumumkan penyingkiran, Afdlin telah memberi pujian kepada persembahan kumpulan ini.

Minggu ini keempat-empat peserta dikehendaki membuat persembahan bertemakan Hari Tua Aku selain membuat jenaka dengan sejenis benda yang diberikan kepada setiap mereka pada segmen kedua beberapa jam sebelum persembahan.

RL4 terus dihoskan oleh pasangan Jozan manakala juri tetap untuk musim ini ialah Afdlin Shauki, Din Beramboi dan Bob Lokman.

Dengan penyingkiran Mamu, ini bermakna tiga peserta lain iaitu Kecik, Idlan dan Alex akan bersaing pada minggu depan untuk merebut gelaran RL4 di Gelanggang Akhir Raja Lawak 4 yang akan berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam. Jadi jangan lupa untuk terus mengundi pelawak-pelawak kegemaran anda kerana undian adalah yang menentukan siapa bakal juara.

0 ulasan:

  © @idlanfc edited template by E.E ;) 2010

Back to TOP